PERLEMBAGAAN/PERATURAN-PERATURAN PERSATUAN PENGELOLA SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA


PERLEMBAGAAN/PERATURAN-PERATURAN PERSATUAN PENGELOLA
SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA

PERATURAN 1   :               Nama dan Alamat / Tempat  Mesyuarat

Persatuan yang ditubuhkan mengikut peraturan-peraturan ini adalah dikenal sebagai PERSATUAN PENGELOLA SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA (PPSSM) dan kemudiannya di dalam peraturan-peraturan ini disebut “Persatuan". Pejabat dan tempatnya terdaftar untuk menguruskan kerja-kerjanya di:-

v  Bahagian Pengurusan sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia. (Dahulunya di Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Jalan Tun ABDUL RAZAK, 30640 Ipoh. dan sebelum itu  di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Jalan Dato’ Hamzah, 70990 Seremban)
v  Ataupun di sesuatu tempat yang lain sedemikian yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh jawatankuasa kerja.
v  Tempat mesyuarat adalah ditetapkan oleh KPPM, Kementerian Pelajatan Malaysia atau di sesuatu tempat yang ditetapkan oleh jawatankuasa kerja.
Alamat berdaftar / tempat mesyuarat persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

PERATURAN 2   :               Tujuan

1.     Tujuan Persatuan ialah:-

a.     Menyatupadukan semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah / ex-ppld yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri / Wilayah, Pejabat Pendidikan Gabungan / Daerah, BTPN dan Pusat Kegiatan Guru.
b.     Memajukan keadaan ikhtisas, social, ekonomi, pendidikan dan lain-lain kepentingan anggota.
c.     Menyokong dan berkejasama dengan KPM / Pengarah JPN dan Pegawai PPD dalam melaksanakan aktiviti dan program pendidikan.
d.     Menolong jayakan dengan wang dan lain-lainnya, kerja atau hasrat pertubuhan-pertubuhan yang halal yang mempunyai tujuan hendak memajukan kepentingan-kepentingan anggota Persatuan.
e.     Memasuki atau menyertai, jika ditetapkan oleh mesyuarat agung, urusan menerbitkan majalah atau terbitan-terbitan lain persatuan yang mempunyai tujuan besarnya untuk menambahkan lagi ataupun memajukan kepentingan-kepentingan persatuan dan anggota-anggota.
f.      Mengadakan suatu tabung khas kewangan untuk memajukan tujuan-tujuan Persatuan.
g.     Pada keseluruhannya menjalankan apa-apa perkara yang dibenarkan oleh Peraturan Persatuan boleh melakukannya.

2.     Tujuan-tujuan ini akan dilaksanakan menurut peraturan-peraturan ini.



PERATURAN 3   :               Keanggotaan

1.     Anggota-anggota Persataun ini terdiri daripada Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah  / ex-ppld Gred 42 dan Gred DG2(KUP) yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri / Wilayah, Pejabat Pendidikan Gabungan / Daerah, Pusat BTIM dan Pusat Kegiatan Guru.

2.     Semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah yang ditempatkan bertugas di Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri / Wilayah, Pejabat Pendidikan Gabungan / Daerah, Pusat Sumber Pelajaran Negeri, dan Pusat Kegiatan Guru dengan sendirinya menjadi anggota.

3.     Setiap anggota perlu menjelaskan yuran masuk dan yuran tahunan. Nama anggota hendaklah didaftarkan dalam buku daftar anggota Persatuan di Kementerian / Negeri dengan sesalinan dihantar kepada Setiausaha Agung Persatuan. Setiap anggota dibekalkan dengan percuma senaskhah Peraturan Persatuan.

4.     Setiap anggota akan diberikan kad keahlian ( Logo-KPM / Pengelola )

PERATURAN 4   :               Yuran Dan Tunggakan

1.     Yuran Masuk dan Yuran Tahunan bagi anggota itu adalah seperti yang berikut:-
Yuran Masuk                -               RM 10.00
Yuran Tahunan            -               RM 30.00

Mana-mana tambahan dibuat kepada kadar di atas hendaklah diputuskan oleh anggota-anggota dalam Mesyuarat Agung.
                                               
2.     Semua yuran hendaklah dibayar dalam setengan tahun pertama iaitu Januari hingga Jun dalan tahun kewangan yang bermula pada 1 Januari.

3.     Jawatankuasa kerja adalah mempunyai kuasa menetapkan bayaran yuran kurang ataupun melepaskan, buat sementara, daripada membayar yuran dan pungutan wang kalau ada, bagi anggota yang tidak berada di dalam negeri, tidak bekerja, sakit ataupun yang sesungguhnya mengalami kesusahan.

PERATURAN 5   :               Hak dan Tugas-Tugas Anggota

1.     Sekiranya dapat dibuktikan hingga memuaskan hati Jawatankuasa Kerja yang seseorang itu telah dapat menjadi anggota Persatuan dengan cara tipu maka orang yang sedemikian hendaklah digugurkan keanggotaannya.

2.     Adalah menjadi kewajipan anggota memberitahu Setiausaha Agung dengan segera apabila pindah atau bertukar tempat kerja.

3.     Jawatankuasa Kerja adalah mempunyai kuasa menangguhkan daripada mendapat faedah, menggugurkan keanggotaan, menahan daripada memegang jawatan, mana-mana anggota yang dikira bersalah kerana mencuba merosakkan Persatuan ataupun kerana mengambil tindakan bertentangan dengan aturan-aturan Persatuan, ataupun kerana mencampurkan diri dengan serangan menghina, memaki ataupun mencerca Persatuan, pegawai-pegawainya ataupun dasar Persatuan. Anggota-anggota yang telah ditangguhkan keanggotaannya dibuang ataupun disekat, walau bagaimanapun adalah mempunyai hak merayu dibawah Aturan 25.

4.     Seseorang anggota tidaklah boleh mengeluarkan dokumen atau pekeliling mengenai Persatuan kecuali dokumen atau pekeliling sedemikian telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja ataupun Mesyuarat Agung dan tidaklah boleh seseorang atau lebih anggota mengeluarkan keterangan mengenai urusan atau perihal Persatuan kepada orang yang bukan anggota, kepada pertubuhan lain ataupun kepada media dengan tidak ada persetujuan.

5.     Adalah menjadi tugas anggota-anggota membayar yuran-yurannya dengan segera dan taat serta menyimpan resit-resit bayaran.

6.     Adalah menjadi tugas anggota-anggota membayar yuran untuk menghadiri mesyuarat agung.

PERATURAN 6   :               Tadbiran Persatuan

                                                Kecuali perkara-perkara yang memerlukan undi sulit maka kuasa yang tertinggi Persatuan
adalah terserah pada Mesyuarat Agung dan dengan tertakluk kepada kuasa itu, Persatuan hendaklah ditadbirkan oleh Jawatankuasa Kerja.

PERATURAN 7   :               Mesyuarat Agung Tahunan (Perwakilan)

1.     Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan hendaklah diadakan dengan seberapa segera selepas penutupan tahun kewangan (31 Disember) dan tidak lewat daripada 30 November. Masa, tarikh dan tempat mesyuarat ditetap oleh Jawatankuasa Kerja. Jumlah perwakilan tidak lebih daripada 15 orang bagi setiap negeri / wilayah / Kementerian Pendidikan Malaysia yang dipilih dalam Mesyuarat Agung masing-masing.

2.     Suatu pemberitahuan permulaan Mesyuarat Agung meminta usul-usul untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Agung. Usul-usul pindaan Peraturan dan penamaan untuk pemilihan pegawai-pegawai hendaklah dihantar kepada semua anggota oleh Setiausaha Agung tidak lewat daripada 21 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarta.

3.     Semua usul hendaklah sampai kepada Setiausaha Agung 14 hari sebelum mesyuarat.

4.     Penamaan calon (dengan persetujuan penama) hendaklah dikirimkan oleh anggota dan sampai kepada Setiausaha Agung tidak lewat daripada 14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat.

5.     Setiausaha Agung hendaklah menyediakan dan menghantar agenda mesyuarat, usul-usul untuk perbincangan, dan penyata kewangan tahun sebelumnya yang telah diaudit kepada semua anggota sekurang-kurangnya 7 hari sebelum mesyuarat.

6.     Korum Mesyuarat Agung hendaklah  ½ jumlah anggota atau 2 kali bilangan anggota Jawatankuasa Kerja. Sekiranya tidak ada korum sejam selepas masa yang ditetapkan, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang diputuskan oleh anggota-anggota yang hadir iaitu tidak lewat daripada 30 hari kemudian. Sekiranya tidak ada korum sekali lagi setengah jam selepas masa yang ditetapkan dalam mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka anggota-anggota yang hadir adalah mempunyai kuasa untuk menjalankan urusan pada hari itu, tetapi mereka tidak ada kuasa mengubah dan meminda mana-mana bahagian Perlembagaan Persatuan atau membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua anggota.

PERATURAN 8   :               Urusan Mesyuarat Agung

Urusan Mesyuarat Agung adalah menerima laporan daripada Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Jawatankuasa Kerja, menimbangkan dan menetapkan semua hal-hal yang melibatkan kebajikan anggota-anggota dan kemajuan Persatuan, melantik Pemegang Amanah, Juruaudit Dalam dan Peneliti (Scrutineers): menimbangkan dan menetapkan semua hal-hal lain yang termasuk dalam agenda dan menerima laporan Pneliti-Peneliti mengenai undi yang dibuat untuk memilih Jawatankuasa Kerja. Jawatankuasa kerja perlu dipilih tiga(3) tahun sekali.

PERATURAN 9   :               Mesyuarat Agung Luar Biasa

1.     Suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa Persatuan hendaklah diadakan:-

a)     apabila Jawatankuasa Kerja memikirkan hanya perlu.

atau

b)     atas permintaan bersama dengan cara bersurat daripada tidak kurang daripada 50 orang anggota dengan menyatakan tujuan dan sebab mengadakan mesyuarat itu.

2.     Suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dituntut oleh anggota-anggota hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh 30 hari selepas menerima tuntutan itu.

3.     Peraturan-peraturan yang digunakan untuk Korum dan penangguhan sesuatu Mesyuarat Agung Tahunan, hendaklah juga digunakan untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa tetapi dengan syarat iaitu selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dituntut oleh anggota-anggota tidak dicukup korum, maka mesyuarat itu hendaklah dibubarkann dan Mesyuarat Agung Luar Biasa tidaklah boleh dituntut untuk tujuan yang sama sehingga berlalu sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh itu.

4.     Pemberitahuan dan agenda untuk sesuatu Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah dihantar oleh Setiausaha Agung kepada semua anggota sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat.

5.     Sekiranya ada sesuatu sebab, Mesyuarat Agung Persatuan tidak diadakan dalam masa yang ditentukan seperti dalam Peraturan 7(1), suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa adalah mempunyai kuasa menjalankan mana-mana ataupun semua fungsi-fungsi yang biasanya dijalankan oleh Mesyuarat Agung Tahunan.

PERATURAN 10 :               Pegawai-Pegawai Dan Pekerja

1.     Pegawai Persatuan adalah bererti mana-mana Jawatankuasa Kerja Persatuan tetapi tidaklah termasuk Juruaudit Dalam. Tidak kurang dari satu pertiga daripada bilangan pegawai-pegawai Persatuan selain daripada Setiausaha, Bendahari dan Pemegang Amanah, hendaklah terdiri daripada orang-orang yang sebenarnya bekerja ataupun digaji dalam pekerjaanya di tempat yang ditentukan di bawah Peraturan 3(1).

2.     Seseorang itu tidak boleh dipilih ataupun memangku sebagai Pegawai Persatuan jika :-

a)     ia bukannya Anggota Persatuan, atau
b)     ia berumur belum lebih 21 tahun, atau
c)     ia bukannya Warganegara Malaysia, atau
d)     ia telah menjadi Jawatankuasa mana-mana Persatuan yang pendaftarannya telah dibatalkan.
e)     Ia pernah dihukum salah oleh Mahkamah kerana pecah amanah, pemerasan atau mengugat atau kerana melakukan sebarang kesalahan lain yang besar.

3.     Tertakluk kepada persetujuan Mesyuarat Agung Tahunan, maka Jawatankuasa Kerja adalah mempunyai kuasa menggaji atau memberi ganjaran seorang Setiausaha, Bendahari ataupun orang-orang lain sedemikian yang difikirkannya mustahak dengan syarat tidaklah boleh diambil seseorang itu bekerja jika :-

a)     ia bukan Warganegara Malaysia, atau
b)     ia telah dihukum oleh mana-mana Mahkamah kerana kesalahan jenayah yang berat, dan telah tidak menerima ampun kerana kesalahannya itu.

Dengan syarat seseorang pekerja Persatuan tidak boleh menjadi Pegawai Persatuan kecuali ia :-

a)     ia dipilih untuk memegang jawatan pegawai separuh masa menurut Peraturan Persatuan; atau
b)     menjadi Setiausaha atau Bendahari dengan tidak berhak mengundi tentang sebarang perkara mengenai Persatuan atau Jawatankuasa Persatuan.

4.     Setiausaha Agung Persatuan tidaklah boleh bekerja dengan mana-mana Persatuan yang lain dalam masa ia menyandang jawatannya itu.

PERATURAN 11 :               Jawatankuasa Kerja

1.     Tadbiran Persatuan dan cara menjalankan kerjanya dalam tempoh diantara Mesyuarat-Mesyuarat Agung hendaklah diletakkan dalam kuasa suatu Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada :-

Yang Dipertua
Timbalan Yang Dipertua
Naib Yang Dipertua
Setiausaha Agung
Penolong Setiausaha Agung
Bendahari Agung

Anggota Jawatankuasa Kerja yang terdiri dari seorang wakil Pengerusi Negeri / Timbalan Pengerusi dan Setiausaha dari tiap-tiap negeri / wilayah dalam Malaysia termasuk wakil dari Kementerian Pendidikan yang terdiri daripada Pengerusi negeri / wilayah / Kementerian Pendidikan.
Jawatankuasa kerja juga boleh melantik beberapa orang dari mana-mana negeri / wilayah / Kementerian Pendidikan yang difikirkan perlu bagi membantu pengurusan persatuan.
2.     Kesemuanya yang tersebut di atas selepas ini dikenal sebagai “Pegawai-Pegawai” hendaklah memegang jawatan selama 2 (dua) tahun ataupun hingga pemilihan yang hadapan mengikut yang mana lebih dahulu.

3.     Jawatankuasa Kerja hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 6 bulan dan 1/3 daripada Jawatankuasa Kerja adalah menjadi korum.

4.     Mana-mana anggota Jawatankuasa Kerja yang tidak menghadiri diri dalam mesyuarat sebanyak 3 kali berturut-turut malah tidak dibenarkan bermesyuarat kecuali memberi keterangan yang memuaskan dengan cara bersurat dihantarkannya kepada Setiausaha Agung.

5.     Sekiranya berlaku kematian, meletakkan jawatan ataupun pembatalan seseorang anggota Jawatankuasa Kerja, maka Jawatankuasa Kerja adalah mempunyai kuasa melantik mana-mana anggota mengisi kekosongan itu hingga mesyuarat agung akan dating.

6.     Dengan menurut Peraturan-Peraturan Persatuan ini dan syarat-syarat yang terkandung di dalamnya maka Jawatankuasa Kerja boleh menggunakan sebarang kuasa dan menjalankan sebarang kerja yang difikirkan mustahak bagi mencapai tujuan-tujuan Persatuan untuk memajukan kepentinganya.

7.     Apabila berlaku sesuatu perkara yang berkehendakkan keputusan Jawatankuasa Kerja dengan serta merta dan tidak pula dapat diadakan mesyuarat tergempar, maka bolehlah Setiausaha Agung, dengan persetujuan Yang DiPertua, mendapatkan keputusan dengan melalui surat pekeliling. Syarat-syarat yang tersebut di bawah ini hendaklah dianggap sebagai telah diputuskan oleh Majlis Jawatankuasa Kerja ;-

a)     Perkara adan tindakan yang dicadangkan hendaklah dinyatakan dengan jelasnya dan salinan surat pekeliling itu disampaikan kepada semua anggota Jawatankuasa Kerja;

b)     Sekurang-kurangnya setengah dari jumlah bilangan anggota Jawatankuasa Kerja hendaklah menyatakan dengan surat samada mereka itu bersetuju atau tidak dengan cadangan yang tersebut ; dan

c)     Suara yang terbanyak daripada mereka yang menyatakan pendapatnya adalah menjadi keputusan.

8.     Jawatankuasa Kerja hendaklah mengawal wang Persatuan supaya tidak dibelanjakan dengan boros atau ditipu. Jawatankuasa Kerja akan mengarahkan Setiausaha Agung atau pegawai-pegawai yang lain mengambil tindakan Mahkamah atas mana-mana pegawai ataupun anggota yang menyalahgunakan ataupun menyimpan secara haram mana-mana wang ataupun harta yang dipunyai oleh Persatuan.

9.     Jawatankuasa Kerja boleh melantik kakitangan sedemikian yang difikirkan mustahak mengikut syarat peraturan 10. Jawatankuasa Kerja boleh menahan atau membuang kerja mana-mana pegawai ataupun anggota kakitangan kerana melanggar peraturan dan kepentingan Persatuan.

10.   Jawatankuasa Kerja akan memberi perintah kepada Pemegang-Pemegang Amanah berkenaan dengan penanaman modal dengan wang Persatuan.

11.   Di antara Mesyuarat-Mesyuarat Agung, Jawatankuasa Kerja hendaklah mentafsirkan Peraturan-Peraturan apabila mustahak dan memutuskan perkara-perkara yang tidak tersebut dalam Peraturan-Peraturan ini.

12.   Kecuali keputusan-keputusan yang berkehendakkan undi sulit maka keputusan-keputusan Jawatankuasa Kerja hendaklah ditaati oleh sekalian anggota Persatuan melainkan dan sehingga dibatalkan oleh sesuatu ketetapan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung.

PERATURAN 12 :               Tugas-Tugas Pegawai

1.     Yang DiPertua

a)     Yang DiPertua adalah ketua pentadbiran Persatuan dan bertanggungjawab di atas kesempurnaan perjalanan pentadbiran Persatuan.
b)     Yang DiPertua hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Mesyuarat Kerja dan Mesyuarat Agung Persatuan.
c)     Yang DiPertua mempunyai kuasa untuk memberi undi pemutus apabila hasil undi tidak dapat memutuskan sesuatu masalah kerana sama bilangan undinya.
d)     Yang DiPertua atau Setiausaha Agung bersama-sama Bendahari menandatangani segala cek-cek Persatuan.
e)     Yang DiPertua hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat pada masa minit-minit disahkan.
f)      Apabila Yang DiPertua tidak ada kerana uzur atau keluar negeri maka Timbalan Yang DiPertua akan menjalankan segala tugas dan tanggungjawab dalam Persatuan kecual menandatangani cek-cek Persatuan.
g)     Yang DiPertua hendaklah menjalankan tanggungjawab seperti  yang tersebut dalam Perlembagaan.

2.     Timbalan Yang DiPertua

a)     Apabila Yang DiPertua tidak ada kerana uzur atau keluar negeri, Timbalan Yang DiPertua hendaklah memangku jawatannya dan menjalankan segala urusan dan tanggungjawab (kecuali menandatangani cek-cek Persatuan) di dalam Persatuan.
b)     Membantu Yang DiPertua mentadbirkan Persatuan dan bersama-sama bertanggungjawab di atas kesempurnaan pentadbiran Persatuan.
c)     Timbalan Yang DiPertua hendaklah menjalankan segala tanggungjawab seperti yang tersebut di dalam Perlembagaan.
d)     Apabila Timbalan Yang DiPertua tidak ada kerana uzur atau keluar negeri, Naib Yang DiPertua hendaklah memangku jawatan Timbalan Yang DiPertua dan menjalankan segala tugas dan tanggungjawab Timbalan Yang DiPertua.


3.     Naib Yang DiPertua

a)     Apabila Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua tidak ada kerana uzur atau keluar negeri, Naib Yang DiPertua, hendaklah memangku jawatannya dan menjalankan segala urusan dan tanggungjawabnya (kecuali menandatangani cek-cek Persatuan) di dalam Persatuan.
b)     Apabila Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua dan Naib Yang DiPerua tidak ada kerana uzur atau keluar negeri, maka anggota-anggota Jawatankuasa Kerja yang lain hendaklah melantik seorang daripada mereka untuk memangku jawatan Yang DiPertua dan menjalankan segala tugas dan tanggungjawab di dalam Persatuan.
c)     Membantu Yang DiPertua mentadbirkan Persatuan dan bersama-sama bertanggungjawab di atas kesempurnaan pentadbiran persatuan.
d)     Naib Yang DiPertua hendaklah menjalankan segala tanggungjawab seperti yang tersebut di dalam Perlembagaan.

4.     Setiausaha Agung

a)     Setiausaha Agung hendaklah menyelenggarakan semua Mesyuarat Agung dan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Kerja.
b)     Setiausaha Agung hendaklah menyimpan catatan-catatan yang berkaitan dengan mesyuarat-mesyuarat itu.
c)     Setiausaha Agung hendaklah menyelenggarakan semua surat-menyurat bagi pihak Persatuan dan bagi pihak Jawatankuasa Kerja.
d)     Setiausaha Agung hendaklah melaporkan kepada Yang DiPertua atas hubungannya dengan Persatuan.
e)     Setiausaha Agung bersama-sama Bendahari akan menandatangani cek-cek Persatuan semasa ketiadaan Yang DiPertua.
f)      Setiausaha Agung bertanggungjawab untuk menyediakan laporan-laporan atas kegiatan Persatuan untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
g)     Setiausaha Agung hendaklah menyelia kerja-kerja kakitangan yang digaji oleh Persatuan.
h)     Setiausaha Agung adalah bertanggungjawab menyediakan keterangan-keterangan atau lain-lain dokumen yang dikehendaki oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan hendaklah menghantarkan kepadanya mengikut tarikh yang ditetapkan.
i)      Setiausaha Agung hendaklah menyimpan satu buku daftar anggota-anggota termasuk nama, alamat, nombor keanggotaannya dan tarikh ia menjadi anggota Persatuan, nombor kad pengenalan dan pekerjaan.
j)      Setiausaha Agung hendaklah menjalankan segala tanggungjawab seperti yang tersebut di dalam peraturan.

5.     Penolong Setiausaha Agung

a)     Penolong Setiausaha Agung hendaklah menolong Setiausaha Agung dalam semua perkara.
b)     Penolong Setiausaha Agung hendaklah menggantikan Setiausaha Agung bila beliau tidak ada kecuali menandatangani cek-cek Persatuan.

6.     Bendahari

a)     Bendahari hendaklah mengendalikan hal-hal kewangan Persatuan dan menyimpan di dalam mana-mana bank dan simpanan mengikut keputusan Jawatankuasaa Kerja.
b)     Memungut yuran dan menerima wang yang bersangkut dengan Persatuan.
c)     Mengeluarkan resit-resit rasmi Persekutuan untuk semua kutipan.
d)     Menjalankan pembayaran bagi pihak Persatuan atas tanggungan-tanggungan yang berkaitan dengan Persatuan.
e)     Menyedia dan menyimpan buku kira-kira kewangan sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan Persatuan dan menunjukkan kepada Juruaudit Dalam Persatuan pada bila-bila masa yang dikehendaki.
f)      Bendahari hendaklah menyediakan penyata kewangan dan neraca kira-kira yang telah diperiksa dan disahkan oleh Juruaudit Dalam Persatuan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan.
g)     Bendahari bersama-sama Yang DiPertua atau Setiausaha Agung menandatangani semua cek-cek Persatuan.
h)     Bendahari hendaklah menjalankan segala tanggungjawab seperti yang tersebut di dalam Perlembagaan.

7.     Anggota-Anggota Jawatankuasa Kerja

Membantu dalam segala perkara Persatuan bagi melicinkan pentadbiran.

PERATURAN 13 :               Pemegang Amanah

1.     Manakala pada satu masa Persatuan ini mempunyai harta, maka harta itu hendaklah diserahkan di bawah jagaan tiga(3) orang Pemegang Amanah yang dipilih oleh Mesyuarat Agung dengan membuat surat Amanah (Deed of Trust) untuk menjaga harta itu.

2.     Tiap-tiap Pemegang Amanah itu hendaklah berumur tidak kurang daripada 21 tahun.

3.     Pemegang Amanah boleh dilantik dikalangan bekas ahli persatuan.

4.     Tiap-tiap Pemegang Amanah itu tidak boleh memegang jawatan-jawatan Setiausaha Agung atau Bendahari dalam Persatuan.

5.     Pemegang-pemegang Amanah tidak boleh menjual, menyewa atau memindah sebarang harta Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan Mesyuarat Agung.

6.     Seseorang Pemegang Amanah bolehlah pada bila-bila masa meletakkan jawatan.

7.     Jika seorang itu dihukum dalam Mahkamah kerana melakukan kesalahan jenayah atau berkelakuan kurang sopan, maka Mesyuarat Agung boleh melucutkan jawatannya daripada menjadi Pemegang Amanah Persatuan.

8.     Apakala berlaku kekosongan dalam Jemaah Pemegang Amanah maka Mesyuarat Agung berhak melantik daripada anggotanya memenuhi tempat yang dikosongkan itu.

9.     Sebarang perubahan dalam Jemaah Pemegang Amanah hendaklah diberitahu kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

PERATURAN 14 :               Juruaudit Dalam

1.     Dua orang Juruaudit Dalam, yang tiada perlu menjadi anggota Jawatankuasa Kerja hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka hendaklah mengaudit akaun-akaun Persatuan pada hujung tiap-tiap enam bulan dan menghantar laporan kepada Jawatankuasa Kerja.

2.     Buku-buku akaun Persatuan hendaklah diaudit bersama-sama oleh kedua-dua Juruaudit Dalam itu dan mereka hendaklah diberi kebebasan untuk melihat mana-mana buku dan dokumen-dokumen yang mustahak untuk menyempurnakan tugasnya.

PERATURAN 15 :               Audit Am

1.     Akaun-akaun Persatuan hendaklah diaudit oleh seorang akauntan yang berkelulusan atau orang-orang lain yang berkebolehan dan layak yang dipersetujui oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan akaun-akaun itu hendaklah diakui benar dengan surat sumpah (statutary declaration). Pengauditan akaun-akaun itu akan dimulakan selepas sahaja ditutup tahun kewangan Persatuan iaitu 31hb. Mac dan hendaklah selesai sebelum 31hb. Mei. Juruaudit itu berhak melihat semua buku-buku dan surat-surat keterangan yang mustahak untuk menyempurnakan tugasnya.

2.     Laporan Juruaudit hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan satu salinan laporan itu hendaklah dipamerkan dengan terang di Pejabat Persatuan yang terdaftar.

PERATURAN 16 :               Pemeriksa Undi

Dua orang bukan pegawai Persatuan hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan menjadi Pemeriksa Undi. Kedua-duanya hendaklah hadir pada masa undi-undi sulit dihitung dan mereka hendaklah melihat iaitu perjalanan seperti yang ditetapkan oleh Peraturan 24 diikuti dengan betul dan hendaklah mengesahkan keputusan undian.

PERATURAN 17 :               Gaji Dan Bayaran-Bayaran Lain

1.     Gaji kakitangan yang bekerja sepenuh masa dengan Persatuan akan ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan apabila mustahak.

2.     Pegawai-pegawai Persatuan yang dikehendaki berkhidmat separuh masa bagi Persatuan bolehlah diberi bayaran sagu hati. Banyaknya wang akan dibayar hendaklah diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan.

3.     Pegawai-pegawai dan wakil-wakil Persatuan bolehlah diberi bayaran kerana hilang masa kerjanya dan kerana telah membuat perbelanjaan yang berpatutan, bagi menjalankan kerja-kerja Persatuan jika diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja. Suatu keterangan perbelanjaan yang beralaskan resit atau lain-lain keterangan pembayaran secepat yang boleh hendaklah dihantar kepada Jawatankuasa Kerja.

PERATURAN 18 :               Kewangan Dan Akaun

1.     Wang-wang Persatuan bolehlah dibelanjakan untuk mana-mana atau semua perkara yang berikut :-

a)     Untuk membayar gaji, elaun dan perbelanjaan pegawai-pegawai Persatuan.
b)     Untuk bayaran dan perbelanjaan Pentadbiran Persatuan, termasuk bayaran audit akaun-akaun wang Persatuan.
c)     Mengarang, mengecap, menerbit dan mengedarkan sebarang jernal, majalah, kertas berita ataupun surat-surat bercap yang diterbitkan oleh Persatuan untuk menjayakan tujuan-tujuan ataupun memajukan kepentingan-kepentingan anggota-anggotanya mengikut peraturan-peraturan yang telah didaftarkan.
d)     Bayaran yuran gabungan kepada badan-badan kebudayaan dan pendidikan yang berdaftar di bawah Undang-Undang yang termaktub di Malaysia.
e)     Menjalankan aktiviti dalam bidang social, sukan, pembayaran dan derma bagi anggota-anggota Persatuan.
f)      Mendirikan bangunan-bangunan dengan tujuan untuk menguruskan kerja Persatuan

2.     Wang-wang Persatuan tidak boleh digunakan dengan secara langsung atau sebaliknya untuk membayar denda atau hukuman yang dikenakan oleh mahkamah kepada sesiapa pun.

3.     Wang-wang kepunyaan Persatuan yang tidak dikehendaki untuk perbelanjaan biasa yang telah diluluskan hendaklah dimasukkan ke bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja oleh Bendahari dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaannya. Kira-kira bank hendaklah dengan nama Persatuan dan nama bank itu hendaklah diberikan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

4.     Semua cek ataupun borang mengeluarkan wang akaun Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang DiPertua atau Setiausaha dan Bendahari. Jawatankuasa kerja hendaklah melantik salah seorang daripada anggota-anggotanya untuk mengganti penandatangan yang tiada.

5.     Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja) pada sesuatu masa dan tidak boleh ia membelanjakan lebih dari tiga ratus ringgit pada sesuatu masa dengan tiada mendapat kebenaran Jawatankuasa Kerja terlebih dahulu.

6.     Semua harta Persatuan akan dimiliki dengan nama Pemegang-Pemegang Amanah bersama-sama wang-wang Persatuan tidak dikehendaki untuk urusan pentadbiran Persatuan hari-hari boleh digunakan untuk menenam modal dalam jaminan-jaminan amanah (trustee securities) dengan syarat Jawatankuasa Kerja berkuasa mengarah supaya 25% dari jumlah wang itu digunakan untuk menanam modal dalam sebarang jaminan yang dipersetujukannya. Wang yang dipermodalkan itu hendaklah dipermodalkan dalam nama Pemegang-Pemegang Amanah dan mereka itu akan memegangnya bagi pihak anggota-anggota Persatuan.

7.     Yang DiPertua boleh menggunakan wang tunai tidak lebih daripada RM250.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Lima Puluh Sahaja) pada sesuatu masa tanpa perlu mendapat kebenaran dari Jawatankuasa Kerja terlebih dahulu.

8.     Bendahari hendaklah menulis atau menguruskan supaya ditulis di dalam buku kira-kira wang Persatuan keterangan penerimaan dan perbelanjaan wang Persatuan. Apabila ia berhenti atau meletak jawatan atau pekerjaannya dan pada atau sebelum 1 Jun tiap-tiap tahun dan pada bila-bila masa dikehendakinya membuat demikian oleh Jawatankuasa Kerja ataupun Mesyuarat Agung ataupun Mesyuarat Agung Luar Biasa ataupun oleh Pendaftaran Pertubuhan maka hendaklah ia menyerahkan kepada Persatuan dan anggota-anggotanya atau kepada Pendaftaran Pertubuhan, jika permintaan itu daripada pihaknya suatu kenyataan yang sah lagi betul perihal sekalian wang yang diterima atau dibayarnya dalam masa yang baru lalu semenjak ia menerima jawatannya, atau jika ia telah pernah membentangkan kira-kiranya terlebih dahulu, maka dari tarikh kira-kira dahulu itu dibentangkan. Maka hendaklah dinyatakannya baki wang yang ditangannya pada masa menyerah kira-kira itu dan menerangkan sekalian bond dan jaminan (bonds and securities) atau lain-lain harta Persatuan dalam simpanan atau jagaannya.

9.     Cara menyediakan kira-kira hendaklah dibuat seperti yang ditentukan oleh Peraturan-Peraturan Persatuan. Kira-kira itu hendaklah diakui betul dengan surat sumpah dan hendaklah Persatuan menguruskan supaya kira-kira itu diaudit oleh orang yang layak dan berkebolehan. Sesudah sahaja kira-kira itu diaudit maka hendaklah Bendahari menyerahkan kepada Pemegang-Pemegang Amanah Persatuan, jika dikehendaki oleh mereka itu, sekelian bond dan jaminan, perkakas, buku-buku, surat-surat dan harta kepunyaan Persatuan yang ada dalam simpanan atau jagaannya.

PERATURAN 19 :               Pemeriksaan Buku-Buku Dan Akaun-Akaun

Tiap-tiap orang yang berhak dalam kewangan Persatuan boleh memeriksa buku-buku dan akaun-akaun Persatuan dan mana-mana anggota pada masa-masa yang munasabah di tempat buku-buku itu disimpan dengan syarat ia membuat permintan dengan memberi tempoh yang berpatutan.

PERATURAN 20 :               Pungutan Khas (Levy)

1.     Selepas diputuskan dengan undi sulit menurut Peraturan 24, maka bolehlah Jawatankuasa Kerja menjalankan Pungutan Khas dari semua anggota Persatuan dan semua anggota Persatuan hendaklah menjelaskannya.

2.     Jika seseorang anggota tidak menjelaskan bayaran pungutan khas itu dalam tempoh tiga bulan selepas pungutan itu dikenakan maka jumlah wang yang tidak dapat dibayar hendaklah dikira sebagai tunggakan yuran.

PERATURAN 21 :               Usaha Pendidikan

Persatuan boleh memberi pendidikan kepada anggota-anggotanya dengan cara mengadakan perjumpaan-perjumpaan, kelas dan kursus. Persatuan juga boleh menerbitkan majalah dan mengambil tindakan lain yang akan menambahkan pengetahuan anggota-anggotanya dalam lapangan ikhtisas, kebudayaan dan kemasyarakatan dengan syarat menurut peraturan-peraturan yang berkuatkuasa mengenai perbelanjaan wang-wang Persatuan.
               
PERATURAN 22 :               Peraturan Dan Pindaan Peraturan

1.     Pindaan Peraturan yang akan menyebabkan beratnya lagi tanggungan anggota-anggota bayaran atau kurangnya faedah yang akan didapatinya hanya boleh dibuat jika diluluskan oleh anggota dengan undi sulit. Dengan syarat ini Peraturan-Peraturan Persatuan bolehlah dipinda di dalam Mesyuarat Agung yang diadakan menurut Peraturan 7, 8 dan 9.

2.     Tiap-tiap pindaan Peraturan akan berkuatkuasa dari tarikh pindaan itu didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan kecuali jika sesuatu tarikh yang terkemudian dari itu ada ditentukan di dalam Peraturan ini.

3.     Satu naskhah Peraturan Persatuan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris hendaklah diletakkan di suatu tempat yang senang dilihat di Pejabat Persatuan yang didaftarkan. Setiausaha Agung hendaklah memberi Peraturan Persatuan kepada sesiapa jua yang memintanya dengan membayar tidak lebih dari lima ringgit senaskhah.

PERATURAN 23 :               Undi Sulit (Jika Perlu)

1.     Keputusan-keputusan mengenai hal-hal yang tersebut di bawah ini hendaklah dibuat dengan cara undian sulit anggota-anggota :-

a)     Pemilihan pegawai-pegawai Persatuan.
b)     Mengenai pungutan-pungutan wang.
c)     Pindaan aturan-aturan Persatuan yang dengan pindaan sedemikian bertambahnya tanggungan anggota-anggota untuk menyumbang atau menyebabkan kurang faedah-faedah yang anggota-anggota berhak.
d)     Pembubaran Persatuan.
e)     Bergabung dengan atau menubuhkan Persekutuan Persatuan.
f)      Pemilihan wakil kepada suatu Persekutuan Persatuan.

2.     Untuk menjalankan undi sulit Jawatankuasa Kerja perlu memutus dan membuat garis panduan dan perlu diterangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja atau mesyuarat Agung dan perlu mendapat persetujuan. Sebarang keputusan hasil dari undi sulit hendaklah diikuti.

PERATURAN 24 :               Pertikaian

1.     Tiap-tiap pertikaian yang berlaku di antara :-

a)     Seseorang anggota, atau seseorang yang menuntut melalui seorang anggota atau menurut peraturan ini, di sebelah pihak, dengan Persatuan atau seseorang Pegawai Persatuan di pihak yang lagi satu ; atau
b)     Seseorang yang mengadu yang telah berhenti menjadi anggota Persatuan atau seseorang yang menuntut melalui orang mengadu itu, di sebelah pihak dengan Persatuan atau Pegawai Persatuan, di pihak yang lagi satu ; atau
c)     Persatuan dan seseorang pegawai Persatuan hendaklah diselesaikan dengan merujukkan hal itu kepada sidang perantaraan.

2.     Tidak kurang dari lima orang pengantara yang tidak ada kena-mengena dengan kewangan Persatuan akan dilantik dalam Mesyuarat Agung Tahunan untuk menjadi Pengantara-Pengantara yang tetap bagi Persatuan. Apabila kosong tempat mereka hendaklah dipenuhkan dengan memilih gantinya di dalam Mesyuarat Agung yang berikut :-

3.     Pihak yang mengadu dalam sesuatu pertikaian atau seseorang yang dipilih olehnya hendaklah memilih dengan undi tiga nama dari nama-nama pengantara Persatuan. Maka tiga orang pengantara yang nama mereka itu dipilih dahulu akan menyelesaikan pertikaian itu.

4.      Dalam peraturan ini perkatan “Pertikaian” meliputi sebarang pertikaian berkenaan dengan soalan sama ada seseorang anggota atau orang yang mengadu itu berhak menjadi anggota, terus menjadi anggota ataupun diterima semula menjadi anggota. Akan tetapi bagi seseorang yang telah berhenti menjadi anggota perkataan “pertikaian” ini hanya meliputi pertikaian di antaranya dengan Persatuan atau Pegawai Persatuan berkenaan dengan soalan yang berbangkit pada masa ia menjadi anggota Persatuan ataupun dengan sebab perhubungan pada masa ia menjadi anggota.

5.     Pihak-pihak yang berselisih berhak membuat rayuan kepada Mesyuarat Agung Tahunan dan keputusan mesyuarat itu adalah muktamad dalam pertikaian berkenaan dengan :-

a)     pemilihan pegawai Persatuan ; atau
b)     kira-kira dan kewangan Persatuan

PERATURAN 25 :               Pembubaran

1.     Persatuan ini tidak boleh dibubarkan sendiri melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada 75% dari anggota-anggota yang berhak mengundi yang didapati dengan undi sulit.

2.     Jika sekiranya Persatuan ini dibubarkan seperti yang tersebut di atas maka segala hutang dan tandatangan yang dibuat dengan halal bagi pihak Persatuan hendaklah diselesaikan dengan penuh dan baki wang yang tinggal akan dibahagikan menurut keputusan yang akan dibuat oleh Mesyuarat Agung.

3.     Pembubaran tersebut hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 14 hari selepas keputusan tersebut diambil; salinan keputusan pembubaran hendaklah ditandatangani oleh seorang pemegang jawatan utama dan tujuh orang anggota biasa.

PERATURAN 26 :               Perkara Am

1.     Jawatankuasa Kerja berkuasa meluluskan segala perbelanjaan bagi Persatuan ini.

2.     Persatuan ini tidak boleh mengadakan apa-apa pergabungan atau perhubungan di luar Malaysia.

3.     Persatuan atau anggota-anggotanya tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti yang diterangkan di dalam Undang-undang Kesatuan Sekerja, 1959.

4.     Persatuan ini tidak boleh menjalankan kegiatan faedah seperti mana yang ditakrifkan di dalam Akata Pertubuhan, 1996.

PERATURAN 27 :               Jawatankuasa Negeri-Negeri

1.     Tiap-tiap negeri termasuk Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan hendaklah menubuhkan satu Jawatankuasa Perhubungan Negeri yang dipilih oleh anggota-anggota PPSSM dalam Negeri / Wilayah dan di Kementerian itu.

2.     Anggota terdiri daripada :-

a)     Seorang Pengerusi
b)     Seorang Timbalan Pengerusi
c)     Seorang Naib Pengerusi
d)     Seorang Setiausaha
e)     Seorang Penolong Setiausaha
f)      Seorang Bendahari
g)     Tidak kurang daripada 5 orang Anggota Jawatankuasa
h)     Dua orang Juruaudit Dalam

3.     Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri itu dengan sendirinya menjadi “Wakil Negeri” dalam Jawatankuasa Kerja. Jika mereka terlantik menjadi Yang DiPertua, Timbalann Yang DiPertua, Naib Yang DiPertua, Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung dan Bendahari, maka Jawatankuasa Perhubungan Negeri berkenaan hendaklah melantik seorang yang lain untuk mewakili negeri duduk dalam Jawatankuasa Kerja.

4.     Tugas Jawatankuasa Perhubungan Negeri ialah menjadi perhubungan antara Jawatankuasa Kerja dengan anggota, berkuasa memungut yuran dan mengendalikan masalah anggota di negerinya.

5.     Kewangan Jawatankuasa Perhubungan Negeri :-

a)     Sejumlah 60% daripada Yuran Tahunan yang dipungut dari anggota hendaklah ditinggalkan di negeri dan selebihnya dihantar ke pusat.
b)     Tiap-tiap Jawatankuasa Perhubungan Negeri hendaklah membuka akaun di mana-mana bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Perhubungan Negeri itu untuk menyimpan wang kepunyaan negeri.
c)     Akaun Jawatankuasa Perhubungan Negeri ditandatangani oleh Bendahari bersama-sama dengan Pengerusi atau Setiausaha.
d)     Tahun Kewangan Jawatankuasa Perhubungan Negeri hendaklah sama dengan tahun kewangan Pusat

6.     Mesyuarat Agung Perhubungan Negeri :-

a)     Mesyuarat Agung Perhubungan Negeri hendaklah diadakan selewat-lewatnya sebulan sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan peringkat Kebangsaan dilangsungkan.
b)     Tugas Mesyuarat Agung Perhubungan Negeri adalah sama seperti Mesyuarat Agung peringkat kebangsaan, sekadar terbatas pada masalah yang berkaitan dengan negerinya sahaja.
c)     Korum Mesyuarat Agung Perhubungan Negeri ialah ½ daripada bilangan anggota di negeri itu atau dua kali ganda daripada jumlah Anggota Jawatankuasa Perhubungan Negeri mana yang kurang.
d)     Perkara 1 dalam Peraturan 7 perlu dipatuhi.
e)     Mesyuarat Agung Perhubungan Negeri adalah menerima laporan daripada Setiausaha, Bendahari dan Jawatankuasa Kerja, menimbangkan dan menetapkan semua hal-hal yang melibatkan kebajikan anggota-anggota dan kemajuan Persatuan, melantik Pemegang Amanah, Juruaudit Dalam dan Peneliti (Scrutineers); menimbangkan dan menetapkan semua hal-hal lain yang termasuk dalam agenda dan menerima laporan Peneliti-Peneliti mengenai undi yang dibuat untuk memilih Jawatankuasa Kerja. Jawatankuasa Kerja perlu dilih tiga (3) tahun sekali.

Disediakan oleh : Exco PPSSM.

Dibentangkan dan diluluskan di                        Pindahan dibentang dan diluluskan
Water City Resort, Melaka                                 di Kuala Lumpur International Hotel
14 September 2006                                            Kuala Lumpur. 28 Julai 2016

Comments